24 Oktober 2016 - 08:29
Laman Sesawang Kementerian Luar Rusia Digodam.

Menurut jurucakap kementerian luar Rusia, laman sesawang kementerian tersebut telah digodam sambil menambah bahawa sebuah siasatan sedang dijalankan oleh pihak yang terbabit.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menurut jurucakap kementerian luar Rusia, laman sesawang kementerian tersebut telah digodam sambil menambah bahawa sebuah siasatan sedang dijalankan oleh pihak yang terbabit.

"Laman sesawang tersebut telah digodam. Oleh siapa? Itulah yang sedang diteliti oleh para ahli," kata Maria Zakharova kepada stesen radia Govorit Moskva.

Menurut laporan CNN, sebelum ini seorang penggodam yang menggunakan nama samaran 'the Jester' mendakwa bahawa ia telah menggodam laman sesawang tersebut sambil meninggalkan nota di situ.

"Komrad! Kami menggangu jadual rutin laman sesawang kementerian luar Rusia untuk membawakan anda sebuah mesej yang penting," antara mesej yang dibawa oleh nota tersebut.

"Sudahlah. Kamu mungkin mampu untuk 'membuli' negara sekitar kamu, tetapi ini adalah Amerika. Tiada siapapun yang kagum (dengannya)," mesej tambahan dalam nota itu.

Laman sesawang kementerian itu kini boleh dilayari seperti biasa.

Pada awal Oktober ini, Washington menuduh Moscow menggodam beberapa akaun emel para pegawainya. Jurucakap presiden Rusia, Dmitry Peskov bagaimanapun telah menolak tuduhan terbabit sambil mengatakannya tidak masuk akal.

Menurut sumber dalaman yang memberitahu Ria Novosti, laman sesawang itu dilaporkan kerap menjadi sasaran penggodam. Sumber itu juga mengatakan bahawa para ahli sedang giat meneliti perkara tersebut.